Tuesday, 28 June 2011

Usaha untuk membina kepimpinan Melayu terbatas

Betul kah Melayu hendak berubah? Kalau hendak berubah, apa kah caranya? Kalau kita sentuh bidang politik ianya tidak boleh lari dari ‘partisan politics’. Apabila kita sebut tentang politik ianya berkait rapat dengan kepimpinan. Jika di huraikan pula tentang kepimpinan Melayu, bagaimana kita hendak memperkembangkan kepimpinan Melayu?

Jika kita serius untuk memperkembangkan bakat dan memperkayakan kepimpinan Melayu, bangsa kita ini wajar berfikir jauh ke luar kotak. Buat masa dulu sehingga sekarang, kita terlalu obses dengan sebutan Melayu tetapi  kepimpinan Melayu tidak juga berkembang. Ia tidak berkembang kerana kalau kita sebut sahaja kepimpinan politik, tempat untuk membina kepimpinan orang Melayu hanyalah UMNO. Tetapi itu pendapat yang sudah mula luntur.

Kenapa ianya pendapat dan pandangan yang luntur?

Jawapannya ialah kerana Melayu membina kepimpinannya hanya dalam parameter yang begitu sempit dan ruang yang kecil untuk berkembang. Apa tidaknya…ianya hanya berlegar di dalam UMNO sahaja sedangkan bangsa lain parameter untuk mereka membenihkan kepimpinan ada banyak cabangnya, orang India berada di dalam proses membina kepimpinan melalui MIC, PPP, DAP, PKR dan sebagainya dan mereka tidak bergaduh di antara satu dengan yang lain.

Kepimpinan Melayu juga terdapat di dalam PAS kerana PAS itu adalah sebuah Islamic Party yang kebetulan di anuti oleh orang Melayu. PAS telah juga membina kekuatan kepimpinan Melayu yang beragama Islam dan parti itu telah membuktikan yang ianya berkemampuan untuk membuahkan dan mengenengahkan kepimpinan Melayu.

Nama-nama seperti Buurhanudin Helmy, Asri Muda, Fadzil Nor serta rakan-rakan yang lain yang seangkatan dengan beliau telah membuktikan PAS mampu untuk membina kepimpinan. Dini hari nama seperti Nik Abdul Aziz, Hadi Awang, Haron Din dan ramai lagi yang berimejkan ulamak agama berada di persada kepimpinan PAS.

Lanjutan dari perjuangan parti untuk membina kepimpinan sekarang timbul nama-nama seperti Sallehuddin Ayob, Mahfuz Omar, Zulkifli Ahmad, Dr Hatta dan ramai lagi yang berimejkan professional dan seterusnya menjadikan parti itu menjadi parti yang mempunyai ‘consequence’ yang besar dalam politik negara dan juga terkenal di seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam.Nama-nama yang disebutkan ini memang lebih berkeupayaan dari nama-nama seperti Noh Omar, Nazri Aziz, puad Zarkasi dan yang lain-lain dari UMNO.

Dalam pada itu ada satu parti lagi yang harus serta wajar untuk dijadikan tempat membina kepimpinan Melayu, iaitu DAP. DAP merupakan parti berbilang kaum dan parti ini bermasalah kerana kekurangan ahli dan pemimpin Melayu menyertainya. DAP telah dimomokan oleh parti yang berlawanan dan dilabelkan sebagai parti chauvinis Cina dan perjuangannya hanyalah untuk orang Cina. Imej ini lah yang menyebabkan orang Melayu menjauhi parti ini sekian lama.

Tetapi perubahan sedang berlaku walaupun ianya berlaku dalam rentak yang agak perlahan. Tetapi ianya sedang berlaku. DAP sedang berusaha dengan gigih untuk meyakinkan rakyat yang parti itu adalah parti berbilang kaum dan ianya terbukti tidak banyak terdapat isu perkauman menjadi isu di dalam parti ini.

Bagi saya orang Melayu sepatutnya tidak teragak-agak untuk menyertai parti ini kerana DAP memang mahukan DAP itu sebagai parti yang mempunyai keseimbangan kaum baik dari segi keahlian dan barisan kepimpinannya. Sejauh mana Melayu boleh menerimanya kita lihat dalam tempoh yang terdekat ini.

Tetapi usaha membina kepimpinan seperti ini selalunya akan mendapat tentangan dari UMNO kerana UMNO memerlukan sangat orang Melayu untuk bersama UMNO dengan alasan memperjuangkan Melayu. sesiapa sahaja yang memberikan pandangan seperti ini akan dicop sebagai tidak patriotik dan berbagai-bagai kecaman lain.

Tetapi akhir-akhir ini sudah ramai orang Melayu yang memberanikan diri untuk menghampiri DAP dan merasa senang dengan cara berpolitik di dalam parti itu. Bagi saya pula jika seorang Melayu itu mempunyai jiwa Melayu yang waja memang tidak ada salahnya menyertai parti itu. Tidak akan hilang Melayunya jika menyertai parti itu sebenarnya.

Jika seorang pemimpin Melayu itu berjiwa Melayu yang hidup menyertai DAP akan memberi keuntungan yang lebih kepada Melayu. Ibarat ikan yang berjiwa dan hidup di lautan luas, ikan ini tidak akan terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya. Maksud saya jika ikan yang hidup dikeluarkan dari lautan luas yang masin, ikan itu tidak akan masin.
Di sebaliknya jika ikan itu tidak berjiwa dan mati, ikan itu apabila dijemur akan menjadi ikan masin kerana ikan itu terpengaruh dengan keadaan sekeliling yang masin.

Justru itu di dalam usaha DAP ingin meliahat partinya itu benar-benar sebagai sebuah parti yang berbilang kaum maka orang Melayu yang mempunyai kepimpinan itu patut menyertai DAP tanpa takut-takut.

Di dalam proses menghantar perwakilan parti itu ke Dewan-Dewan Lagislatif, DAP pula wajar mengimbangi penyertaan orang Melayu…samada di DUN-DUN atau di Dewan Lagislatif Persekutan, iaitu Dewan Parlimen.

Orang India, walaupun merupakan kaum yang terkecil tetapi dari segi kepimpinan kaum itu telah berjaya membina ramai kepimpinan kaumnya. India mempunyai perwakilan di dalam Dewan-Dewan Undangan Negeri dan Parlimen melalui semua parti kecuali UMNO dan MCA. India mempunyai wakil-wakil mereka melalui MIC, PPP, DAP dan PKR. Kali ini jika ada kaum India yang beragama Islam tidak hairan jika India boleh juga mewakili kaumnya melalui PAS.

Itulah sebabnya dengan keadaan politik hari ini kita melihat orang Melayu mempunyai kurang kepimpinan kerana kita orang Melayu susah untuk berubah. Orang Melayu masih lagi terlekat dengan isu perkauman yang akan sempit dan takut untuk keluar dari ‘comfort zone’ yang sekarang ini sudah jauh berkurangan jika dibandingkan dengan keadaan dulu-dulu.

Kita masih terperap dengan isu Melayu tetapi Melayu tidak berubah juga. Kita masih bergelumang dengan sentimen perkauman yang menebal dan menyertai DAP itu akan menjadi isu yang sangat besar seolah-olah lebih besar dari isu murtad agama. UMNO sudah dianggap lebih tinggi dari agama dan mengkritik pemimpin dan parti ini seolah-olah telah melakukan kesalahan yang terlalu besar seperti hilang keimanan kita di sisi Tuhan.


Jika kita amati betul-betul kita mesti sedar yang rakyat kini sudah merasa mual dengan isu perkauman. Dalam jangka yang terdekat ini parti-parti politik yang berteraskan perkauman akan menjadi sejarah secara beransur-ansur. Dengan kekurangan keyakinan orang Melayu terhadap parti UMNO yang agak menyeluruh pilihan-pilihan yang di sebutkan tadi sudah menampakan sedikit sebanyak kebenarannya.

Jika Melayu masih mempunyai ‘apprehension’ yang kuat untuk melakukan perubahan maka tidaklah boleh kita salahkan sesiapa. Tidak ada sesiapa yang akan dapat perubahan jika kita tidak sanggup untuk berubah.


(Aspan Alias)

4 comments:

  1. Dato' Sak dan Pak Aspan

    Sungguh tepat pandangan tuan. Kekosongan kepimpinan Melayu itu adalah hasil tuaian budaya burung kakaktua yang di semai oleh parti UMNO yang sehingga hari ini gagal menguruskan "dissent" dengan baik. Idea yang berbeda tandanya parti yang hidup. Satu pandangan satu idea itu terjemahan negara totalitarian. Pastinya Malaysia negara pelbagai idea!

    ReplyDelete
  2. Ini adalah kegagalan amat besar Madey. Selama 22 tahun hampeh, tapi pembodek tak sedar diri. wang..wang.dan wang

    ReplyDelete
  3. "...Jika Melayu masih mempunyai ‘apprehension’ ..."

    Tak tepat. Tepat ialah " Jika UMNO ketakutan..."

    Atau, jika otak mereka di atas bahu, bukan di bawah pinggang!

    ReplyDelete
  4. Salam Saudara Aspan

    Saran saudara agar orang Melayu digalakkan menjadi ahli dalam DAP dan seterusnya menjadi pemimpin-pemimpin mengikut/menjuruskan ke pemikiran Malaysian Malaysia DAP setentunya akan membuahkan kepemimpinan Melayu yang berasaskan keseluruhan prinsip-prinsip yang mampu digunapakai untuk memimpin negara ini.

    Apa jua pemimpinan pada masa depan akan ada Pemimpin Melayu yang mampu menerajuinya sama ada mengikut kehendak Islam, secara Malaysian Malaysia atau selainnya.

    ReplyDelete